Friday, 20 May 2011

Memaafkan Untuk Syurga


Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia.
 kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham.
Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.
Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."
Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.
Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.
Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.
Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.
Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."
Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."
Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.
Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

Mutiara Hidup






Musuh utama manusia adalah dirinya sendiri,
Kegagalan utama manusia adalah kesombongannya.
Kebodohan utama manusia,
Adalah sifat menipunya.
Kesedihan utama manusia,
Adalah rasa iri hatinya.
Kesalahan utama manusia,
Adalah mencampakkan dirinya,
Dan orang lain.
Sifat  manusia yg terpuji adalah rendah hati,
Sifat manusia yang paling diuji adalah semangatnya,
Kehancuran terbesar manusia adalah putus asa,
Harta utama manusia adalah kesihatan.
Hutang terbesar manusia adalah sifat berkeluh-kesah,
dan tidak memiliki kebijaksanaan,
Ketenteraman manusia adalah,
Suka bersedekah dan beramal.
Segala pekerjaan mudah untuk dilakukan kecuali satu hal,
Memahami apa adanya tanpa mempersoalkan 'kekurangannya'.
Sebagaimana diri kita, demikian juga makhluk lain,
Sebagaimana makhluk lain, demikian juga diri kita.
Dengan memikirkan mereka, dengan membandingkan mereka,
Tidak seharusnya kita saling berselisih, bertengkar,
Dan membunuh atau menyebabkan hal itu.

Secebis Ingatan Buat Adam






Adam...
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Wahai Adamku...
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. 
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu tatkala aku sentiasa mahu terpesong dari landasan... kerana aku buruan syaitan.
Adam... Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya.
Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana kerana Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.
Adam...
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tetapi... aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun... terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.
Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku.
Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini.
Kami dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahanku.
Dimana perginya keadilanmu?
Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut... tetapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini? Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam...
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketuaku.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku? Akalku satu, nafsuku sembilan.
Oleh itu Adam...pimpinlah, bimbinglah aku kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung.
Maafkan aku sekali lagi Adam... 
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.
Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.
Waspadalah Adam...
Andai auratku terdedah...andai suaraku mengatasimu... andai langkah seiringmu... andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku kepada kebenaran.
Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi...
Tetapi percayalah!!! Bukan emas yang kucari... bukan berlian yang kupinta... tetapi, hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu...
Adam...
Dengarlah...keluhan hatiku buat dirimu...
Ikhlas dari Hawa abad ini...